kertaskerja.gif (4587 bytes)

KERTAS CADANGAN PENUBUHAN "KELAB SUMBER" SEBAGAI
AKTIVITI KOKURIKULUM di SEKOLAH KEBANGSAAN TAIPING.

oleh

Badrul Hisham B. Hj. Ahmad Sukar
Penyelaras Pusat Sumber

Tajuk

Kelab Sumber.

Pengenalan

Pusat Sumber Sekolah merupakan tempat di mana pelbagai perkhidmatan dapat diperolehi bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran dan melahirkan pendidikan yang bermutu. Di pusat sumber juga seharusnya murid-murid didedahkan dengan pelbagai pengalaman dan pengetahuan berkaitan pusat sumber dan menggunakan beraneka media yang terdapat di pusat sumber. Selaras dengan ini maka dicadangan agar "Kelab Sumber" dapat ditubuhkan sebagai satu bahagian dalam aktiviti Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Taiping.

 

Rasional

Kegiatan Kokurikulum sekolah adalah bertujuan untuk memberi pendidikan mental, fizikal dan rohani kepada murid-murid secara tidak formal. Pengalaman melalui kegiatan Kokurikulum bertambah berkesan jika murid-murid terlibat secara aktif dan dapat melihat faedahnya untuk masa depan mereka.

Untuk tujuan-tujuan tersebut maka penubuhan "Kelab Sumber" dicadangkan. Anggota-anggota "Kelab Sumber" akan didedahkan dengan cara-cara menjalankan kerja penyelenggaraan bahan bacaan dan alatan pandang dengar dan cara-cara menggunakan alat pandang dengar yang mudah. Kelab Pusat Sumber juga dapat membantu pihak sekolah dalam menguruskan Pusat Sumber Sekolah di samping untuk meluaskan lagi penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran, serta memberi peluang kepada murid-murid untuk mempelajari kemahiran yang berguna pada masa hadapan. Ini merupakan pembelajaran seumur hidup.

 

Tujuan

Tujuan dicadangkan menubuhkan "Kelab Sumber" di sekolah ini adalah untuk:

1. Membiasakan murid-murid berkaitan proses kerja dan tugas mengelola dan menguruskan Pusat Sumber Sekolah.

2. Memberi kemahiran penggunaan alat pandang dengar yang didapati di sekolah, dengan itu dapat membantu guru dalam menggunakan alatan.

3. Melatih murid menerbitkan bahan-bahan bacaan dan bahan pembelajaran yang        dapat mereka gunakan dalam pelajaran mereka.

                    4. Memberi peluang kepada murid-murid bekerjasama demi kepentingan rakan                       sebaya.

 

Peranan "Kelab Sumber".

"Kelab Sumber" akan melatih anggota kelab:

1. Mengkatalog bahan sumber serta merekod stok bahan sumber dan alatan.

2. Menguruskan kerja meminjam dan mengembalikan bahan dan alatan yang dipinjam

3. Menjalankan penyelenggaraan bahan dan alatan yang mudah.

4. Menerbitkan bahan-bahan sumber bercetak dan bukan cetak.

5. Bagaimana melaporkan segala kerosakan alatan.

6. Membuat rekod menggunakan komputer.

 

Organisasi "Kelab Sumber"

Jawatankuasa "Kelab Sumber" akan terdiri daripada:

Penasihat(Guru),

Pengerusi,

Naib Pengerusi,

Setiausaha,

Bendahari dan

Ketua Kumpulan.

 

Anggota-anggota kelab akan dibahagi kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada murid-murid berbagai kelas dan tahun. Ini adalah untuk menggalakkan kerjasama antara anggota kelab.

 

Pemilihan Anggota "Kelab Sumber"

Murid-murid yang ingin menjadi anggota "Kelab Sumber" perlu mempunyai beberapa sifat berikut:

  1. Sifat bertanggungjawab

  2. Pencapaian akademik yang baik.

  3. Sanggup berkhidmat secara sukarela.
  1. Bersikap bekerjasama.

 

Ganjaran

Setiap ahli "Kelab Sumber" akan diberi dua jenis Sijil sebagai ganjaran iaitu dianugerahkan Sijil Penghargaan dan Sijil Kemahiran.

Sijil Penghargaan.

Sijil Penghargaan akan diberikan kepada ahli-ahli yang telah memberi sumbangan perkhidmatan kepada Pusat Sumber Sekolah apabila anggota itu telah tamat persekolahan atau bertukar ke sekolah lain.

Sijil Kemahiran

Sijil Kemahiran akan dianugerahkan kepada anggota-anggota yang telah lulus ujian kemahiran berkaitan bidang-bidang pengurusan Pusat Sumber Sekolah. Bentuk ujian ini akan dikendalikan oleh Penyelaras Pusat Sumber Sekolah mengikut kemahiran tertentu.

Kesimpulan.

Cadangan penubuhan "Kelab Sumber" ini timbul memandangkan keadaan Pusat Sumber Sekolah yang tidak begitu sempurna. Dengan penubuhan "Kelab Sumber" ini nanti murid-murid yang menjadi anggota kelab akan dapat membantu guru Penyelaras Pusat Sumber dalam memaksimumkan penggunaan Pusat Sumber Sekolah dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran, disamping melatih murid-murid dengan kemahiran-kemahiran pengurusan Pusat Sumber Sekolah yang mana ia sangat berguna pada masa hadapan.

Kelab Pusat Sumber ini dicadangkan penubuhannya mulai 1.1.1998.